Latar belakang
Puan Fairus memulakan perniagaan pengumpulan minyak masak terpakai sejak awal November 2024 dengan tujuan membantu suaminya menambah pendapatan keluarga. Beliau menyedari bahawa perniagaan ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sekiranya diurus secara lebih sistematik.
Kini, selain menjalankan perniagaan tersebut, Puan Fairus juga telah berjaya membuka Pasar Mini CikCT, sebuah kedai yang menyediakan barangan basah dan kering untuk komuniti setempat. Pembukaan pasar mini ini bukan sahaja memperluas sumber pendapatan keluarga, malah membuktikan kesungguhan beliau dalam mengembangkan perniagaan secara serius dan berdaya saing.
Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan NADI
Pada peringkat awal, Pn. Fairus menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dan hanya beroperasi pada hujung minggu. Pendapatan bulanan beliau ketika itu sekitar RM1,000 dengan jumlah pelanggan kira-kira 10 orang sahaja setiap bulan. Aktiviti promosi juga dilakukan secara manual dan terhad kepada penduduk kampung berdekatan.
Selepas penggunaan ICT/ penglibatan NADI
Selepas mendapat pendedahan dan bimbingan melalui NADI, Pn. Fairus mula menggunakan ICT untuk mempromosikan perniagaannya secara dalam talian. Beliau menggunakan media sosial dan aplikasi mesej untuk menyebarkan maklumat kutipan minyak masak terpakai ke kampung-kampung berhampiran. Kaedah kutipan dijalankan secara berkala dan lebih teratur, sekali gus meningkatkan bilangan pelanggan serta pendapatan bulanan beliau.
Penggunaan ICT dan penglibatan NADI telah memberi kesan positif yang besar kepada perniagaan Pn. Fairus. Melalui promosi dalam talian, beliau berjaya menarik lebih ramai pelanggan dari beberapa kampung berdekatan. Jumlah pelanggan kini meningkat kepada lebih 40 orang sebulan, manakala pendapatan bulanan beliau mencecah kira-kira RM3,500.
Selain itu, Pn. Fairus juga dapat mengurus tempahan dan jadual kutipan dengan lebih sistematik melalui aplikasi mesej serta penyimpanan data pelanggan secara digital. Kecekapan pengurusan dan jangkauan pasaran yang lebih luas menjadikan perniagaannya berkembang pesat.
Melihat potensi perniagaan dan keyakinan yang semakin meningkat, Pn. Fairus mengambil langkah lebih jauh dengan membuka Pasar Mini CikCT, iaitu sebuah kedai yang menyediakan barangan basah dan kering untuk komuniti setempat. Pasar mini ini bukan sahaja menambah sumber pendapatan baharu untuk keluarga, malah memudahkan penduduk setempat mendapatkan keperluan harian tanpa perlu pergi jauh. Pembukaan pasar mini ini menjadi bukti kejayaan beliau memanfaatkan ICT dan bimbingan NADI untuk mengembangkan perniagaan secara lebih mapan dan berkesan.

